Selamat Datang ke Laman Rasmi Bulan Sabit Merah Daerah Muar
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) adalah satu pertubuhan sukarela yang ditubuhkan pada tahun 1948. Persatuan ini diiktiraf kerajaan Malaysia pada tahun 1957 dan Persatuan Palang Merah Antarabangsa pada tahun 1963
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia ditubuhkan pada tahun 1948 sebagai cawangan Persatuan Palang Merah Britain di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 1950an, lebih banyak cawangan persatuan ditubuhkan di Malaysia bermula di Pulau Pinang pada tahun 1950 dan kemudian di negeri-negeri lain.
Ketika kemerdekaan pada tahun 1957, cawangan di Semenanjung Malaysia dikenali sebagai Persatuan Palang Merah Persekutuan Tanah Melayu. Persatuan mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Palang Merah Antarabangsa pada 4 Julai 1963 dan menjadi ahli badan antarabangsa itu pada 24 Ogos 1963.
Berikutan penggabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta penubuhan Persekutuan Malaysia pada September 16, 1963, suatu penggubalan akta baru yang dikenali sebagai Akta Persatuan Palang Merah Malaysia (Penswastaan) Akta 1965 telah bertindak menggabungkan Persatuan Palang Merah Malaya dan cawangannya Persatuan Palang Merah di Sabah dan Sarawak dibawah nama baru iaitu Persatuan Palang Merah Malaysia. Ia dibentangkan di Parlimen dan digazetkan pada 1 Julai 1965.
Pada 5 September 1975, Persatuan Palang Merah Malaysia telah ditukar nama kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia selaras dengan kebenaran penukaran nama Akta Persatuan Palang Merah Malaysia kepada Akta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Akta 1975 oleh Parlimen Malaysia
Peranan BSMM
BSMM memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat semasa:
- Krisis dan bencana alam seperti banjir, kebakaran dan gempa bumi
- Kecemasan perubatan, termasuk pertolongan cemas dan rawatan awal
- Program komuniti seperti kempen derma darah dan pendidikan kesihatan
Organisasi ini juga menggalakkan penyertaan aktif daripada belia, pelajar, dan komuniti setempat dalam aktiviti kesukarelawanan melalui cabang daerah dan institusi pendidikan.
7 Prinsip Asas Kemanusiaan BSMM
- Kemanusiaan
- Kesaksamaan
- Berkecuali
- Berdikari
- Sukarela
- Kesatuan
- Keuniversalan
Sebagai sebuah badan yang diiktiraf oleh kerajaan dan dihormati di peringkat antarabangsa, BSMM terus komited untuk meringankan penderitaan manusia tanpa diskriminasi – demi kesejahteraan dan keamanan sejagat.

Pejabat Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Muar