Ucapan Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Muar
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Muar kini telah berdiri sebagai sebuah organisasi yang sah dan aktif dalam mendukung misi kemanusiaan di peringkat daerah.
Penubuhan rasmi BSMM Daerah Muar pada 1 Julai 2023 di bawah naungan BSMM Negeri Johor merupakan titik permulaan yang bermakna dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan, tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang. Dengan pengiktirafan yang disahkan oleh Pengerusi Kebangsaan ketika itu, YBhg. Tunku Tan Sri Dato' Shahriman bin Tunku Sulaiman, kami terus bertekad untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh dedikasi.
Sebagai sebuah pertubuhan sukarela, kami amat menghargai sokongan daripada agensi kerajaan, institusi pendidikan, komuniti setempat dan para sukarelawan yang telah banyak membantu menjayakan program kami seperti bantuan bencana, latihan pertolongan cemas, kempen kesihatan, serta derma darah. Komitmen ini menjadi asas kekuatan kami dalam memupuk nilai kemanusiaan dan meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, sukarelawan dan rakan kerjasama yang telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BSMM Daerah Muar. Semoga segala usaha yang kita laksanakan akan terus memberi manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada kesejahteraan daerah Muar secara menyeluruh.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama mengangkat semangat kemanusiaan sebagai tanggungjawab bersama demi masa depan yang lebih sejahtera.
Sekian, terima kasih.
Pn Hajah Rohayah binti Ibrahim
Pengerusi
Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Muar